Pertabalan Undang Luak Mohammad_Kassim_Datuk_Nika_Haji_Abdul_Rashid

Yang Teramat Mulia Datuk Kelana Putera Mohammad Kassim bin Datuk Nika Haji Abdul Rashid Undang Luak Sungai Ujung ke 9 telah dikerjankan (ditabalkan) pada 25 Januari 1951 bagi mengantikan Almarhum Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim.[1] Upacara pertabalan telah dijalankan dengan penuh istiadat yang dijalankan di Balai Undang Ampangan,Negeri Sembilan.

Pengisytiharan Datuk Kelana Putera telah dilakukan sebelumnya iaitu pada 27 Mac 1946 selepas daripada kemangkatan Almarhum Datuk Kelana Ma'amor bin Kassim.Istiadat pertabalan dimulakan dengan sembilan das tembakan meriam. Seterusnya istiadat bersiram telah dimulakan oleh Dato' Batin dari Ulu Beranang dan Jenang diikuti pula oleh Dato' Mandika, Dato' Seri Maharaja Diraja dan lain-lain ahli waris. Istiadat diteruskan apabila Dato' Syahbandar mengisytiharkan pekerjaan kerajaan dan meriwayatkan riwayat hidup Undang yang baru. Dato' Laksamana dan Dato' Panglima Besar kemudiannya mengisytiharkan istiadat mengadap yang didahului oleh Dato' Mandika dan 25 orang Dato'-Dato' yang lain, Kadi-kadi termasuk Naib-naib Kadi, Penghulu, Buapak-buapak, dan waris-waris yang lain. Istiadat ini adalah mengikut aturan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan telah ditentukan dan bacaan doa telah menamatkan istiadat.